Lima Penggunaan Bijak Bonus Tahunan

Banyak syarikat swasta termasuk organisasi kerajaan membayar bonus hujung tahun. Selepas mendapat wang bonus, ramai tidak menguruskan duit yang diterima dengan baik dan membelanjakan wang tersebut ke atas pembelian-pembelian yang tidak membawa manfaat kewangan.

Berikut adalah beberapa cadangan menggunakan bonus tahunan anda demi mengukuhkan situasi kewangan anda:

Jelaskan hutang

Ramai penasihat kewangan peribadi mengatakan bahawa menjelaskan hutang merupakan antara perkara yang paling penting dilakukan sekiranya ada wang tambahan. Tidak kira sama ada hutang dengan pihak bank, hutang PTPTN, hutang perniagaan atau peribadi, bukan sahaja ia jimat interest malah hidup anda lebih tenang sekiranya bebas hutang.

Pelaburan

Wang tambahan boleh dilaburkan demi menjamin masa depan yang lebih cerah. Ianya boleh berfungsi sebagai dana pendidikan anak atau dana persaraan. Akan tetapi anda perlu memastikan pelaburan tersebut selamat dan berisiko rendah. Jangan sekali-kali menceburi pelaburan risiko tinggi dan skim cepat kaya. Pelaburan selamat yang disyorkan adalah pelaburan dalam hartanah, unit trust dan amanah saham.

Meningkatkan Simpanan Kecemasan

Simpanan kecemasan merupakan dana yang disimpan yang akan membantu anda ketika anda memerlukannya seperti untuk perbelanjaan tidak dijangka. Sekiranya anda bajet tiga bulan gaji sebagai dana kecemasan, anda boleh meningkatkan amaun tersebut kepada enam bulan gaji. Semakin berusia, semakin banyak masalah yang anda bakal hadapi. Semasa ekonomi meleset, dana kecemasan menjadi semakin penting kerana risiko dibuang kerja lebih tinggi.

Menambahkan saiz tabung untuk pembelian item mahal

Tabung untuk pembelian item mahal bermaksud satu tabung yang bakal digunakan untuk perbelanjaan jumlah besar seperti pembelian perabot, rumah, kereta, percutian, umrah dan sebagainya. Bonus tahunan boleh membantu anda membeli item mahal lebih cepat.

Tambah ilmu

Anda juga boleh menggunakan sebahagian bonus tahunan untuk menghadiri seminar atau kursus yang boleh meningkatkan pengetahuan anda. Contoh kursus-kursus yang berguna termasuk kursus pengurusan kewangan, internet marketing, teknik pelaburan hartanah dan sebagainya. Lebih banyak ilmu yang anda timba, semakin cerah peluang untuk naik pangkat atau menjana lebih banyak untung dalam perniagaan.