Perbankan Islamik vs Perbankan Konvensional

Sistem ekonomi Islam amat mementingkan aspek keadilan dan keseimbangan antara kebebasan individu dengan maslahah awam dan soal agama dengan perkara-perkara keduniaan. Perbezaan utama antara sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional ialah tentang konsep halal dan haram.

Tidak ada unsur Riba

Sistem perbankan konvensional menggunakan konsep faedah (interest) berdasarkan peratusan tertentu dari jumlah pinjaman pokok. Riba adalah ziyadah atau penambahan melebihi daripada pinjaman permulaannya dan ianya haram.

Tidak ada Unsur Jahalah dan Gharar

Sistem perbankan islamik mementingkan hukum syariah sebagai garis panduan dalam transaksi perbankan yang dijalankan. Prinsip Syariah melarang apa-apa pelaburan yang akan menyokong industri, perniagaan atau aktiviti yang memberi impak negatif kepada masyarakat secara umum termasuk aktiviti yang melibatkan kegiatan faedah atau tambahan (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif dengan unsur ketidakpastian (gharar).

Jaminan Keadilan Untuk Semua

Objektif pembiayaan konvensional adalah untuk mendapatkan keuntungan melalui bayaran faedah dan segala risiko tidak mampu bayar ditanggung oleh peminjam dan waris. Sebaliknya sistem kewangan Islam menitikberatkan perkongsian untung dan rugi bersama. Hubungan dengan pelanggan adalah dalam bentuk hubungan perkongsian manakala hubungan dengan pelanggan dalam sistm konvensional adalah dalam bentuk hubungan pemiutang – penghutang.

Tidak Melibatkan Aktiviti Haram

Urusan perbankan islamik ada kaitan dengan soal halal dan haram. Dana dan untung dari perbankan islamik tidak dilabur atau dikaitkan dengan industri haram seperti perjudian dan perniagaan minuman keras.

Pemantauan

Segala aktiviti dan produk termasuk penyerahan dan penyaluran dana sesuai dengan syariah Islam yang dipantau oleh Ahli ataupun Majlis Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Audit Syariah yang bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan hukum Syariah di sesebuah bank.Jadi, tidak timbul sebarang keraguan apabila menjalankan aktiviti perbankan menerusi sistem perbankan islamik.