Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba (faedah). Di antara kontrak-kontrak yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam adalah:
Ijarah
Kontrak sewa beli di mana bank membeli barangan untuk pelanggan dan kemudian menyewakan kembali kepada pelanggan. Ia membolehkan pemindahan hak guna (manfaat) atas suatu barang dalam waktu tertentu dengan pembayaran sewa (ujrah).
Murabaha atau kos tokok
Murabaha adalah perjanjian penjualan barangan antara bank dengan pelanggan yang tidak melanggar syariah. Bank membeli barangan dan kemudian menjualnya kepada pelanggan secara kredit dengan harga termasuk keuntungan (margin). Antara syarat adalalah harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan yang dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.
Mudarabah (Perkongsian Untung)
Mudharabah adalah bentuk kerja sama di antara pemberi modal (shahibul amal) dan pengusaha projek (mudharib) di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan dengan suatu kontrak perkongsian keuntungan dan kerugian.
Bai’ al inah
Bai al-Inah adalah akad jual beli ketika penjual menjual asetnya kepada pembeli dengan janji untuk dibeli kembali. Aset dijual secara tunai dab dilanjutkan dengan pembelian kembali secara pembayaran ansuran.
Al-Bai’ Bithaman Ajil
Urus niaga al-Bai’Bithaman Ajil melibatkan proses menjual sesuatu dengan disegerakan penyerahan barang dan ditangguhkan pembayarannya sehingga ke satu waktu atau tempoh yang telah ditetapkan.
Tawarruq
Tawarruq merujuk kepada akad pembelian barangan secara kredit dan menjual semula kepada pembeli lain secara tunai dengan harga lebih rendah daripada harga asal. Penjualan semula tersebut dibuat bagi mendapatkan wang tunai.
Musharakah
Kontrak Musharakah pula merupakan suatu kontrak persepakatan antara dua pihak atau lebih untuk menggabungkan sama ada modal, kerja atau komitmen dengan sasaran mendapatkan keuntungan.